Penyakit salur pernafasan di Johor meningkat 97.3 peratus

JOHOR BAHRU: Johor mencatat peningkatan berganda penyakit salur pernafasan (ILI), iaitu 97.3 peratus pada minggu epidemiologi (ME) 06 tahun ini berbanding minggu sebelumnya.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, merujuk survelan ILI, peningkatan bilangan kes yang dilaporkan pada ME 06/2025 (807 kes) berbanding pada ME 05/2025 (409 kes).
"Bagi tahun 2025, sehingga ME06/2025 tiada kluster baru dilaporkan.
"Secara amnya, kes ILI dan URTI adalah jangkitan biasa yang berlaku tanpa musim di Malaysia sepanjang tahun dan hanya memerlukan pemantauan dan pengasingan diri.

"Pemantauan yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) terhadap jangkitan ILI dan URTI, mendapati situasi masih terkawal," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Tian Soon memaklumkan kumulatif kes denggi mencatatkan penurunan 62.5 peratus kes (813 pada ME06) berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu 2,169 kes.
Katanya pada minggu sama, daerah Johor Bahru melaporkan kes tertinggi iaitu sebanyak 88 kes.
"Diikuti Kulai (15 kes), Batu Pahat (12 kes), Muar (4 kes), Kluang (3 kes), Kota Tinggi (3 kes), Segamat, Tangkak dan Mersing ( masing-masing 2 kes) dan Pontian (1 kes).
"Sebanyak 11 lokaliti wabak baru dilaporkan di Johor, yang mana jumlah terkumpul lokaliti wabak di Negeri Johor pada Tahun 2025 sehingga ME06 adalah 82 berbanding 315 dalam tempoh yang sama pada tahun lalu," katanya.
No comments:
Post a Comment